Rabu, 22 Oktober 2014

Lelaki bernama Robin Hood 'pegang' Kuala Sepetang

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Mengejutkan! Hanya dengan satu arahan, seorang lelaki yang menguasai kegiatan jenayah penyeludupan di jajaran pantai barat Perak termasuk di sekitar kawasan Kuala Sepetang didakwa berupaya mengarahkan segelintir anggota agensi penguat kuasa membantu melaksanakan operasi haramnya tanpa sebarang masalah.

Satu sumber mendakwa, semasa mahu menjalankan aktiviti haram tersebut, lelaki diberi gelaran ‘Ro*bin Hood’ itu akan mengarahkan anggota agensi penguat kuasa yang ‘dibelinya’ memastikan laluan di lautan dan darat ‘dibersihkan’ serta bebas daripada sebarang halangan.

Dakwanya, aktiviti penyeludupan tersebut dijalankan sebanyak tiga atau empat kali dalam tempoh sebulan dan akan meningkat ketika musim perayaan terutama melibatkan barangan seperti mercun, arak, dadah serta senjata api.

“Sebelum memulakan operasi, mereka dikatakan terlebih dahulu ‘membersihkan’ laluan laut dengan memastikan bot nelayan dan kapal agensi penguat kuasa tidak keluar atau berada di sepanjang laluan.

“Keadaan hampir sama berlaku di laluan darat, malah anggota agensi penguat kuasa yang terlibat didakwa akan mengadakan sekatan jalan raya bagi mengesan mana-mana anggota atau pegawai yang jujur serta cuba menghalang aktiviti penyeludupan selain menentukan laluan selamat boleh dilalui sindiket,” dakwanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan kawasan di sekitar Kuala Sepetang antara lain didakwa menjadi lubuk jenayah yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan berpengaruh dan ‘kebal’ daripada tindakan penguat kuasa.

Sumber berkenaan mendakwa, orang upahan ‘Robin Hood’ turut memerhatikan pejabat atau rumah anggota agensi penguat kuasa yang disyaki boleh memudaratkan operasi mereka bagi tujuan pemantauan pergerakan.

Menceritakan lebih lanjut, sumber itu mendakwa, sejurus kenderaan yang digunakan dalam penyeludupan memasuki lebuh raya untuk membawa barangan ke gudang atau mana-mana lokasi ditetapkan, ‘tonto’ upahan ‘Robin Hood’ akan mengawasi sepanjang proses penghantaran.

“Jika terdapat sebarang halangan, tonto dikatakan sanggup bertindak nekad dengan melanggar kenderaan penguat kuasa yang menghampiri lori mengandungi barang seludup.

“Kenderaan seperti lori atau ‘lock van’ yang digunakan sindiket untuk aktiviti penyeludupan lazimnya merupakan lori curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” dakwanya.

Dalam pada itu, sumber itu mendakwa, selain agensi penguat kuasa, ‘Robin Hood’ turut memberi ‘ganjaran’ kepada segelintir nelayan antara RM200 sehingga RM300 supaya tidak keluar menangkap ikan sepanjang menjalankan kegiatan penyeludupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan